Wednesday, July 1, 2015

Mutiara Qalbu


PENEGASAN daripada Nabi Muhammad SAW bahawasanya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa solatnya, puasanya, zakatnya dalam masa yang sama mereka datang juga dengan dosa-dosa memaki orang itu, menuduh zina orang ini, makan harta orang ini, mengalirkan darah orang, memukul orang. Maka ketika mana kezaliman-kezaliman pengkhianatan yang dilakukan oleh lidah, tangan dan segala macam itu, maka  dia memberi orang itu yang telah dianiaya tadi dari pahala-pahala kebaikannya. Sehingga jika sudah habis pahala-pahala kebaikan maka diambillah kejahatan ataupun dosa orang lain yang telah dikhianati, diumpat, dikeji dan sebagainya, maka  dicampak keatasnya untuk dipikul dan tanggung, kemudian dia dicampakkan ke dalam neraka. (Hadis Riwayat Muslim).
Sesungguhnya puasa dan solat yang kita lakukan pada hari ini bukan untuk menjadikan kita orang yang muflis. Namun sebaliknya adalah penting untuk kita memahami falsafah Ramadan bahawa ia sebenarnya merupakan suatu tarbiah dan latihan menahan diri, bukan sekadar daripada lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan kemurkaan Allah. Bukan mudah untuk melunakkan hawa nafsu, atau menundukkan anak didik syaitan namun dengan sifat penyayang Allah memberikan satu program yang khusus dengan tatacara yang ditunjukkan oleh rasulullah sebagai bantuan daripada Allah untuk menjadi kita hamba-Nya yang soleh.
Kehebatan niat terletak kepada tiga perkara. Iaitu pada benarnya niat tersebut, pada kuatnya nekad dan azam niat itu, dan pada  keikhlasannya. Rasulullah bersabda : ‘Bahawa setiap amal itu bergantung pada niatnya’. (HR Bukhari dan Muslim) Oleh itu harus dipastikan bahawa sesuatu niat itu benar dan disertai dengan ilmu, agar ia tidak terpesong.
Rasulullah juga bersabda: ‘Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya daripada sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda.’ Namun Allah berfirman: ‘Kecuali puasa adalah untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dia sudah meninggalkan makan minumnya dan hawa nafsunya kerana Aku, maka serahkan pada Ku, Aku yang memberikan ganjaran kepadanya.’ (Hadis Qudsi). Maka kita perlu tanamkan niat bahawa segala ibadah pada sepanjang Ramadan ini dilakukan hanya untuk mendekat diri dengan Allah Azza wajalla. Ada beberapa kaedah untuk menguatkan niat agar sentiasa berada dalam rahmat Allah. Antaranya dengan bermonolog dengan Allah dan berniat untuk berada dekat dengan-Nya, selain berniat agar Allah memperbaiki diri dan segala ibadah yang dilakukan di sepanjang Ramadan ini.
Apabila kita menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, ia seolah-olah melihat diri melalui cermin dan mampu melihat segala kekotoran dan kecacatan di dalam hati. Semakin terserlah kelemahan diri, pada ketika itulah kita mengharapkan diri diperbaiki Allah. Waktu inilah kekuatan niat diperlukan dan saling ingat-mengingati antara satu sama lain agar diri sentiasa dekat dengan Allah dan menjadikan Ramadan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya.
Adalah sesuatu yang mengecewakan jika kita tidak benar-benar mengenali Allah dan menganggap Allah hanya akan mengurniakan sesuatu setelah kita meminta sahaja. Persepsi ini akan menyebabkan kita sentiasa berada dalam kegusaran. Walhal pada hakikatnya Allah itu Maha Kaya dan Maha Berkuasa. Cuba renungkan alam sarwajagat yang diciptakan-Nya, ditadbirkan berada dalam keadaan yang tersusun rapi kejadian dan pergerakannya. Jika kita hayati bagaimana di dalam Al-quran menggambarkan kebesaran Allah, sudah tentunya kita akan menyedari bahawa masalah yang membelenggu diri selama ini, sebenarnya terlalu kecil sifatnya dan dengan kuasa Allah mampu menarik kembali segala kesulitan itu pada bila-bila masa sahaja.
Sekiranya Allah belum menarik kembali kesukaran dan ujian yang dihadapi, ia berkemungkinan kerana ada banyak hikmahnya kepada diri kita. Sebab itu kita perlu menyiapkan diri untuk menerima sesuatu ujian dengan hati yang lapang dan penuh kesabaran. Sesungguhnya Allah itu Maha pemberi pertolongan, bermula sejak kita lahir kedunia sehingga ketika kita kembali menemuinya.
Walau dalam apa jua situasi sekalipun, contohnya ketika berada di dalam kesesakan jalan raya, adalah wajar untuk kita sentiasa mengingati dan bertawakal kepada Allah,  secara tidak langsung ia mampu memberikan ketenangan kepada diri.
Renungilah firman Allah SAW;‘Sesungguhnya lelaki dan perempuan muslim, lelaki dan perempuan mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk  mereka keampunan dan pahala yang besar.’(Surah al-Ahzab: 35). Semoga kita beroleh segala kelebihan ini melalui tarbiah Ramadan yang Allah kurniakan khusus kepada kita umat Muhammad SAW.


Sumber & Petikan dari sini

0 surat cinta:

 
© Copyright 2035 My Beautiful Journey
Theme by Yusuf Fikri